Khamis, 13 Disember 2012
Selasa, 20 November 2012
UPACARA MANDI KERIS
Upacara Mandi Keris yang hampir ditelan zaman kini masih diteruskan oleh peminat keris bagi memastikan budaya Melayu itu terus dipertahankan selain bertujuan untuk membersihkan keris daripada karat. Upacara berkenaan bukannya mempunyai kaitan dengan ilmu hitam atau mistik, sebaliknya untuk menghidupkan kembali budaya yang kini semakin dilupakan oleh orang Melayu. Sebelum ini, ianya diamalkan secara meluas di dunia Melayu iaitu di Malaysia dan Indonesia dengan adat mandi keris biasanya dilaksanakan pada awal Muharram iaitu dari 1 hingga 10 Muharram.
Upacara Mandi Keris ini mempunyai tiga tahap iaitu membersihkan kotoran, menimbulkan pamor iaitu corak pada bilah keris serta meminyakkan keris.
Tahap pertama, kotoran pada keris akan dibersihkan dengan menggunakan buah yang berasid seperti limau nipis, mengkudu, dan nenas muda untuk membuang karat dengan cara memberukan buah berkenaan pada bilah keris. Langkah ini akan menyebabkan keris menjadi putih bersih dan tidak mempunyai corak atau pamor.
Oleh itu, tahap kedua perlu dilakukan iaitu mengembalikan pamor dan warna hitam pada keris dengan menggunakan bahan campuran air limau nipis dan arsenik yang dikenali sebagai warangan di kalangan masyarakat Jawa di Indonesia.
Tahap ketiga dan juga yang terakhir ialah mengeringkan keris sebelum diminyakkan menggunakan minyak wangi daripada tujuh jenis campuran untuk mewangi dan mengelakkan ia mudah karat.
Upacara Mandi Keris serta mengasap senjata dahulunya biasa dilakukan kebanyakan panglima Melayu sebelum setiap kali mereka keluar bertempur. Tetapi pada zaman ini, upacara tersebut dilakukanuntuk menghilangkan karat dan kembali menajamkan keris berkenaan.
Selain membersihkan keris, upacara seperti ini juga boleh dijadikan tempat pertemuan antara pengumpul dan peminat keris bagi mengadakan perbincangan antara sesama sendiri untuk mengenali jenis keris yang mereka miliki. Antara jenis keris yang terdapat di dunia Melayu ialah keris Melayu, Bugis, Jawa, Bali, Pekaka, Tajung, Sundang, dan Rencong Acheh.
# INFO
- Mandi Keris adalah upacara untuk membersihkan keris daripada karat dan biasanya dilakukan pada awal Muharram.
- Pembersihan keris mempunyai tiga tahap iaitu membersihkan kotoran dengan menggunakan buah berasid, mengembalikan pamor dan warna hitam keris serta meminyakkan keris dengan wangian campuran tujuh bauan.
- Keris yang digunakan secara menusuk itu pelbagai bentuk samada lurus atau berlok.
- Sebelum Islam tersebar di alam Melayu, wujud kepercayaan bahawa setiap keris yang baru dihasilkan akan 'dimasukkan' nyawa dengan mengorbankan seekor haiwan bagi menjaga keselamatan pemiliknya.
- Ilmuan Eropah kagum dengan pembuatan keris kerana ia dihasilkan daripada tempaan beratus kali menggunakan campuran pelbagai jenis besi sehingga ketukan berkenaan menimbulkan corak atau pamor.
- Dianggarkan terdapat lebih 200 pamor yang terkenal pada keris Melayu.
- Antara pamor yang terkenal ialah kulit manggis, beras tumpah, hujan emas, batu lapak, dan bulu ayam.
Ahad, 20 Mei 2012
Langgan:
Ulasan (Atom)
